PERAK

PERAK

PEMBUDAYAAN DKICT

PEMBUDAYAAN DKICT

5A DAN 4A UPSR 2015

5A  DAN 4A UPSR 2015

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

SEJARAH SEKOLAH

Sekolah Kebangsaan Lekir dikatakan bermula pada tahun 1900, apabila lebih 30 orang kanak-kanak belajar di bawah surau. Guru yang mengajarnya adalah secara sukarela. Pelajaran yang diajar ialah membaca Al-Quran dan menulis jawi dengan menggunakan papan batu (papan loh).
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Pada tahun 1910 dengan daya usaha penghulu Kampung Md Asyek dan keraninya Abdullah bin Muhammad serta dibantu oleh orang-orang kampung yang punyai kesedaran tentang pendidikan telah memohon ke Jabatan Pelajaran Perak untuk mendirikan sebuah bangunan sekolah.
Dalam tahun ini juga sebuah bangunan yang keluasannya 40' x 25 ' telah didirikan. Di jalan Tanjung Kepah. Bangunan tersebut bertiang batu, beratap genting dan berlantai simen. Bangunan inilah bangunan yang ulung di kawasan Lekir ketika itu. Ia diberi nama Sekolah Melayu Laki-Laki Lekir. Murid-murid yang belajar di sekolah ini datangnya dari Tanjung Kepah, Sungai Selaba,Sungai Lombong, Bendang Tokong, Jelutong dan Pasir Pandak.
Guru Besar sekolah ini bernama Tuan Syed Mohamad dan seorang guru penolong yang berasal dari Pulau Pinang. Jumlah muridnya ketika itu antara 40 hingga 50 orang. Kesemua mereka adalah murid-murid lelaki. Pada masa ini tidak ada murid-murid perempuan bersekolah. Darjah murid juga tidak terbentuk.
Mata pelajaran yang diajar kepada murid-murid ketika itu ialah bacaan,tulisan,karangan, tulisan jawi, ilmu hisab, dan ilmu alam. Murid-murid menulis di atas papan loh.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Pada tahun 1913, Tuan Syed Mohammad telah bertukar. beliau telah digantikan oleh seorang anak tempatan yang amat berminat dalam lapangan perguruan iaitu En Md Sidi bin Abdul Ghani. Kefahaman dan kesedaran ibu bapa tentang pendidikan semakin meningkat. Mereka mahu anak-anak mereka tahu membaca dan menulis. Ini menyebabkan bilangan murid di sekolah ini semakin bertambah sehingga mencapai 70 orang.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Pada tahun 1916, En Md Sidi ditukar ke Hutang Melintang. Pertukaran ini disebabkan pihak Jabatan Pelajaran Perak menghendaki beliau memajukan sekolah di sana. Beliau digantikan oleh En Junid yang berkhidmat sebagai guru besar di sekolah itu sehingga tahun 1935.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Pada tahun 1935 En Abdul Ghani telah mengambil alih jawatan guru besar daripada En Md Sidi. En Abdul Ghani mengambil berat tentang pelajaran. Bilangan murid-murid ketika itu dianggarkan 100 ke 150 orang.
Kesan daripada kesedaran tentang pentingnya pendidikan di kalangan penduduk setempat, menjadikan mereka mahu dan membenarkan anak perempuan bersekolah. Sebuah bangunan khas (bangunan atap) telah dijadikan sekolah didirikan berhampiran dengan Masjid Lekir pada tahun 1929. Bangunan ini dinamakan Sekolah Melayu Perempuan Lekir. Gurunya Puan Puteh dan Puan Kalthom bt Md Isa.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Pada tahun 1938 atas usaha gigih En Abdul Ghani dan kerjasama Jabatan Pelajaran Perak bangunan sekolah baru didirikan. Bangunan ini didirikan di Sekolah Kebangsaan Lekir yang ada sekarang. Keluasan bangunan ini ialah 64' x 24' dengan dilengkapi dua buah rumah guru dan padang permainan.
Apabila bangunan sekolah ini siap dibina semua murid-murid lelaki dipindah ke bangunan sekolah baru. Bangunan sekolah lama yang terletak di Tanjung Kepah yang dikenali sebagai "Sekolah Baruh" dijadikan pula sekolah untuk murid-murid perempuan.

Pada akhir tahun 1938 sekolah ini diterajui oleh En Mohd Zain bin Mohd Ali. Pada ketika itu persekolahan murid-murid sehingga darjah lima sahaja. En Mohd zain menyarankan kepada ibu bapa agar anak-anak mereka melanjutkan pelajaran di darjah enam ( darjah tambahan) di Sekolah Melayu yang terletak di Kampung Sitiawan.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Pada awal tahun 1941 En Ahmad bin Ismail dari Teluk Anson ( sekarang dikenali dengan nama Teluk Intan) memegang jawatan guru besar. Pada masa ini perang dunia kedua meletus. Aktiviti persekolahan tergendala. Bangunan sekolah terbiar usang.
Apabila perang tamat En Hamzah bin Saud guru penolong sekolah ini dilantik menjadi guru besar oleh Pejabat Pelajaran Perak. Aktiviti persekolahan dipulihkan dan bilangan murid pada ketika itu mencapai sehingga ke 380 orang. Pertambahan murid yang begitu ketara ini disebabkan oleh usaha En Hamzah menubuhkan kelas darjah enam. Murid-murid sekolah ioni tidak lagi ke Sekolah Melayu Sitiawan untuk melanjutkan pelajaran bahkan murid-murid yang tamat darjah lima dari sekolah yang berhampiran seperti Sekolah Kayan, Sekolah Sungai Tiram, Sekolah Pasir Panjang pula melanjutkan pelajaran di sekolah ini. Keadaan ini menyebabkan sekolah kekurangan bilik darjah. Sebuah bangunan tambahan (dibuat daripada kayu) berukuran 72' x 20' didirikan. Separuh perbelanjaan membina bangunan ini disumbangkan oleh penduduk kampung.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Pada 1 Februari 1957 En Hamzah Saud telah dilantik oleh kerajaan menjadi Guru Pelawat Kumpulan Grik. Jawatan guru besar dipangku oleh En Md Basri bin Tahir. Pada 1 Jun 1957 En Shafie bin Md Ali menjadi guru besar. Pada tahun ini juga nama sekolah ini ditukar dari Sekolah Melayu Lekir kepada Sekolah Umum Lekir. Pertukaran ini adalah arahan dari kerajaan.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Pada tahun 1959 En Shafie telah dilantik menjadi Guru Pelawat Kumpulan Sungkai. Haji Md Jihin bin Chor dari Sekolah Kampung Kota Bruas dilantik menjadi Guru Besar. Sekali lagi sekolah ini bertukar nama kepada Sekolah Kebangsaan Lekir atas arahan kerajaan. Pada masa itu sekolah ini mempunyai tiga buah bangunan. Dua buah di tapak sekolah sekarang dan sebuah lagi terletak kira-kira 1.5 kilometer dari sekolah. Bilangan murid pula mencecah ke 407 orang.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Pada tahun 1966 sekolah ini mendapat bangunan tambahan 120' x 20'. Bangunan tambahan ini mencakupi empat buah bilik darjah. Sebuah kantin berukuran 36' x 16' didirikan. Dengan itu bangunan cawangan yang terletak 1.5 kilometer yang tersebut tadi tidak digunakan lagi.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Pada tahun 1969 En Zainal Abidin Md Amin menjadi guru besar sekolah ini. Bilangan murid telah berkurangan menjadi 300 hingga 350 orang. Ini disebabkan setiap kampung yang berhampiran telah didirikan sekolah, manakala penduduk kampung setempat pula ramai yang menghantar anak mereka ke sekolah berpenghantar bahasa Inggeris seperti di Sekolah Anglo Chinese (ACS) Sitiawan atau di St Francis Sitiawan. Pada tahun 1973 sekolah ini mendapat dua buah bangunan tambahan yang dibuat daripada batu berukuran 90' x 25' setiap buah. Ia terdiri daripada empat buah bilik darjah, sebuah pejabat, sebuah bilik guru dan dua buah bilik air.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Pada akhir tahun 1973 sekolah ini dilanda banjir besar akibat hujan lebat dan air pasang dari laut. Paras air naik sehingga 1.2 meter. Ini mengakibatkan banyak buku dan perabot ditenggelami air.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Pada 17 Ogos 1974 bangunan tambahan sekolah telah dirasmi pembukaannya oleh Yang Berbahagia Tan Sri Hamdan Sheikh Tahir, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia. Sehubungan itu juga sekolah menerima bekalan air paip yang disediakan oleh pijak Jabatan Kerja Raya (JKR).
Antara mereka yang pernah menyandang jawatan guru besar di sekolah ini ialah
En Alwi bin Md Piah (1975-1985), En Md Zamin bin Muhammad, En Arshad bin Ismail dan En Zulkifly bin Meor Leop ( 1997-1999 ).
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Sekolah ini mencatat sejarah apabila Pn Hajah Meheran bt Kamruddin menjadi wanita pertama menjadi guru besar di sekolah ini mulai tahun 2000 hingga 2002. Setelah bersara beliau digantikan oleh Pn Hjh Katijah bt Bujang dari tahun 2002-2003. Selepas itu jawatan guru besar sekolah ini disandang oleh Pn Nurainiah bt Nuruddin mulai tahun 2003. Pada tahun 2005 Pn Hjh Nurainiah ditukarkan menjadi Guru Besar Sk Convent di Sitiawan.Tempat beliau digantikan oleh Pn Che Puteh bt Hussin Guru Besar Sk Methodist Ayer Tawar.Pn Che Puteh juga tidak lama berkhidmat di sekolah ini apabila beliau ditukarkan pula ke Sk Sri Selamat di Sitiawan. Tempat Che Puteh digantikan oleh Zulkfly bin Meor Lop pada bulan November 2007. Ini bermakna Zulkfly telah dua kali menjawat jawatan guru besar di sekolah ini.
Perkembangan dunia pendidikan di negara ini menyaksikan kerajaan mula meletakkan guru-guru berijazah di sekolah rendah. Cikgu Ahmad Basri bin Adnan merupakan guru pertama yang memiliki ijazah di tempatkan di sekolah ini pada tahun 2004. Sebelum ini beliau mengajar di sekolah ini juga dengan memegang diploma pendidikan. Cikgu Ahmad Basri memiliki ijazah sarjana muda pendidikan(B.Ed) serta ijazah Sarjana (MA) dari USM Pulau Pinang. Kini berapa orang lagi guru di sekolah ini sedang mengikuti program pensiswazahan daripada universiti tempatan. Dua orang guru berijazah juga ditempatkan di Kelas PKBP.

Tiada ulasan: